Usahawan adalah individu yang menjalankan perniagaan tidak kira kecil atau besar. Usahawan biasanya akan berhadapan dengan risiko dan risiko yang diambil adalah sederhana dan telah diperhitungkan. Walaupun seseorang usahawan tahu bahawa mereka akan berhadapan dengan pelbagai risiko, mereka juga sebenarnya memikirkan tentang ganjaran yang bakal mereka peroleh, iaitu keuntungan. Dalam dunia keusahawanan, keuntungan atau kerugian adalah sesuatu yang akan diterima oleh seseorang usahawan dan tidak dapat dielakkan. Tetapi, seseorang masih memilih untuk menjadi usahawan mungkin kerana ingin menjadi kaya, boleh bekerja di rumah, sudah lama tiada pekerjaan, mewarisi perniagaan keluarga dan ingin mengubah nasib.
Usahawan berperanan sebagai perintis, pereka dan penggalak kepada perubahan dan inovasi. Oleh itu, seseorang usahawan perlu kreatif dan inovatif dalam menghasilkan atau mencipta sesuatu produk atau servis supaya perniagaannya dapat terus kekal dalam pasaran. Usahawan juga terbahagi kepada 3 jenis iaitu peramal, orang yang bersungguh-sungguh, dan orang tengah. Seseorang usahawan tidak dilahirkan atau tercipta secara semula jadi, tetapi mereka dilatih. Usahawan boleh terdiri daripada pelbagai golongan seperti pelajar, pekerja, mahupun penganggur. Kejayaan dalam menjadi seorang usahawan dapat diperoleh jika individu tersebut bersungguh-sungguh dan mempunya ilmu dalam bidang perniagaan.